KUCHING, 8 Dis: Siapa lebih hebat di gelanggang? Sama ada Muhammad Johan Ghazali Zulfika atau Edgar Tabares, teka teki itu bakal terjawab apabila kedua-dua jaguh Muay Thai itu turun membuat perhitungan di Stadium Tinju Lumpinee di Bangkok, Thailand. jam 9 pagi esok waktu tempatan.
Johan Ghazali atau lebih dikenali dengan nama panggilan Jojo, 17, akan berdepan ujian sebenar dengan penampilan pertamanya dalam pertarungan Primetime US, ONE Championship bertemu juara Muay Thai Antarabangsa WBC, Tabares, 29.
Jika melihat kelebihan di atas kertas, sudah pastinya Tabares menjadi pilihan oleh kerana faktor umur, rekod kemenangan yang lebih banyak dan pencapaian, namun peninju dari Mexico itu tidak boleh memandang mudah lawannya Jojo yang merekodkan kemenangan bersih dalam keempat-empat perlawanan yang diharunginya termasuk kali terakhir menewaskan lawan dari Russia, Temirlan Bekmurzaev pada Oktober lepas sekali gus berjaya meraih kontrak bernilai AS$100,000 (RM473,507)
Pencapaian itu menjadikan pelatih dari Rentap Muay Thai Gym, Kuching itu sebagai peninju termuda berjaya meraih kontrak berprestij tersebut. – TVS