KUCHING, 8 Dis: Lebih 1,000 penganut Kristian pelbagai mazhad bakal menyertai perarakan Krismas yang julung kali diadakan di kawasan DUN Kota Sentosa, pada Ahad (10 Dis) ini.
Perarakan berkenaan akan dimeriahkan oleh penganut Kristian dari 14 gereja sekitar Kuching itu diadakan sebagai simbolik perpaduan serta keharmonian kaum yang terdapat di Sarawak.
Menurut Pengerusi Perarakan Krismas, Pastor Greman Ujang, penganjuran kali pertama ini merupakan kerjasama antara gereja Christ Baptist, Persatuan Kristian Evangelical Sarawak (SECA), dan Sidang Injil Borneo (BEM).
“Para peserta akan berkumpul pada jam 6 petang sebelum perarakan bermula, dan kita masih mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin menyertai secara percuma untuk memeriahkan acara ini,” katanya pada sidang media di Gereja Christ Baptist di sini hari ini.
Menurutnya, ADUN Kota Sentosa, Wilfred Yap Yau Sin, serta Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Tan Kai, turut dijemput pada hari tersebut.
“Perarakan itu akan dimulakan dengan sesi sembahyang dalam tiga bahasa, iaitu Bahasa Cina, Inggeris, dan Iban, serta nyanyian lagu-lagu karol Kristian, kereta berhias, tarian rebana, dan tiupan shofar,” ujarnya.
Perarakan sepanjang tiga kilometer itu akan bermula dari Dewan Perniagaan Batu 7, melalui Perpustakaan Awam Kota Sentosa, Kem Rejimen Askar Melayu Kuching, Mes Pegawai Pangkalan Udara Kuching, Restoran Pelita, Pasar Batu Tujuh, sebelum kembali ke Dewan Perniagaan Batu 7.
Antara gereja lain yang dijemput menyertai perarakan ialah New Life Restoration Church, Grace Assembly Church, dan banyak lagi. – TVS