Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penyebaran berita mengenai peningkatan kes jangkitan wabak COVID-19 di Malaysia sejak kebelakangan ini tidak lagi menjadi ancaman kepada sektor pelancongan, khasnya di Sarawak. Foto hiasan, Envato.

Wabak COVID-19 bukan lagi ancaman kepada sektor pelancongan – Abdul Karim

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 7 Dis: Penyebaran berita berhubung peningkatan kes jangkitan wabak COVID-19 di Malaysia sejak kebelakangan ini bukan lagi ancaman kepada sektor pelancongan, terutamanya di Sarawak.

Sehubungan itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah meminta agar rakyat mahupun mana-mana pihak berkepentingan tidak khuatir dan panik terhadap wabak tersebut.

“Era pandemik itu sudah berakhir. Ketika itu, sesiapa yang terkena jangkitan COVID-19 terasa seperti dikenakan ‘hukuman mandatori’ ke atas mereka. Tetapi sekarang, kalau terkena jangkitan sekalipun, anda masih mampu tersenyum.

“Kadar kematian akibat jangkitan COVID-19 sekarang, saya percaya lebih kurang 10 peratus sahaja atau mungkin kurang. Saya melihat ia sebagai selesema biasa sahaja, mungkin saya juga (terkena jangkitan) kerana suara saya juga sudah lain sedikit. Kita tidak tahu kerana virus ada di mana-mana. Tetapi saya tidak membuat ujian (COVID-19) untuk mengetahui sama ada saya dijangkiti atau tidak kerana secara peribadinya saya rasa, asalkan anda mengambil vitamin C dan sebagainya, anda berada tahap kesihatan yang baik. Jadi tidak perlu panik,” kata beliau.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Buku Dasar Integriti pada Hari Integriti Sarawak Tourism Board (STB) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Karim menegaskan golongan yang mempunyai masalah kesihatan serta warga emas untuk berwaspada terutamanya ketika berada di kawasan sesak dan sekiranya perlu, orang ramai dinasihatkan agar memakai pelitup muka.

Beliau pada masa sama berkata sekiranya kes jangkitan menunjukkan angka yang semakin membimbangkan, pihak kementeriannya akan bertindak mengikut garis panduan yang akan dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Sekiranya kes-kes melonjak tinggi, saya percaya KKM akan mengeluarkan arahan tertentu tetapi buat masa ini, semuanya terkawal.

“Sarawak belum lagi sampai ke peringkat itu. Apabila ia sampai ke peringkat itu, saya percaya kementerian saya yang mengawal selia berkenaan dengan pelancong-pelancong yang datang dan juga acara-acara yang kita hendak anjurkan, garis panduan akan diberikan kepada kita. Apa yang boleh dan apa yang tidak,” jelas beliau.

KKM terdahulu menerusi di laman Facebook rasminya semalam memuat naik satu hantaran yang menasihati orang ramai supaya mendapatkan maklumat mengenai situasi COVID-19 di Malaysia, seperti bilangan kes baharu, bilangan kematian, bilangan kemasukan ke hospital dan lain-lain daripada sumber yang sahih. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan