KUCHING, 7 Dis: Sektor pertanian koko Sarawak diperuntukkan RM2.5 juta menerusi Belanjawan 2024 yang akan memberi manfaat kepada 555 petani koko.
Ketua Pengarah Lembaga Koko Malaysia, Datuk Dr Ramle Kasin berkata dana tersebut bertujuan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran koko dengan memberikan pekebun input pertanian seperti baja, racun dan racun serangga perosak.
Melalui peruntukan tersebut, ia akan merangkumi kira-kira 512 hektar tanah pertanian koko baharu di Sarawak.
“Sambil itu kita juga melaksanakan aktiviti pengembangan di mana kita memberi tunjuk ajar kemudahan yang terbaik dalam peningkatan produktiviti koko itu sendiri,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Kursus Pelatih Super Koko di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah menetapkan sasaran eksport koko bernilai RM8 bilion pada tahun ini.
Sasaran itu yakin dapat dicapai memandangkan trend permintaan eksport yang kian meningkat pada hujung tahun.
Namun, jumlah nilai eksport tersebut hanya dapat diketahui pada Mac 2024.
“Sebab pada ketika ini penghujung tahun permintaan coklat akan meningkat sebabkan oleh Krismas dan musim cuti,” katanya. – TVS