KUCHING, 7 Dis: Penyanyi rock legenda tanah air, Datuk Awie tampil sebagai artis pertama yang akan menggegarkan pentas Studio 3, sebuah program muzikal terbaharu terbitan TVS.
Lebih menarik persembahan pelantun lagu ‘Di Penjara Janji Itu’ akan diiringi sekumpulan pemuzik berbakat yang menggabungkan alat muzik tradisional Sarawak dan kontemporari.
Awie mengakui beraksi dalam Studio 3 merupakan suatu pengalaman baharu buat beliau susulan nyanyiannya diiringi alat muzik tradisional Orang Ulu Sarawak, Sape.
“Bagi saya dengan adanya alunan muzik sape ianya sangat bagus sekali, ia tidak mendatangkan perubahan ketara sebab temponya sama.
“Kalau kita dapat latihan lebih awal mungkin kita akan buat persembahan yang lebih besar sikit,” katanya ketika temui TVS pada sesi latihan Studio 3.
Untuk rekod, Studio 3 merupakan program muzikal yang menampilkan gabungan persembahan artis tanah air dan artis lokal tempatan Sarawak.
Berdurasi 15 minit, program tiga episod ini akan menemui penonton di saluran 122 di Mytv, Unifitv dan Astro mulai 17 Disember 2023 pada jam 7.30 petang.
Program ini juga merupakan usaha TVS bagi menyediakan platform untuk anak-anak seni Sarawak, sekali gus membuka ruang kepada peminat muzik untuk mengenali artis-artis tempatan Sarawak.
Untuk episod pengenalan ini, Studio 3 akan menampilkan Awie bersama tiga artis tempatan Sarawak, iaitu Carrie Geres, Hairee Francis dan Faris Malik. – TVS