GEORGE TOWN, 6 Dis: Seorang penjual nasi maut dengan 27 kesan tusukan pada badan dipercayai ditikam dengan sebilah pisau pendek di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Ooi Thiam Siew, Jelutong di sini, pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa lelaki berusia 60-an disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V. Saravanan berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan berhubung kejadian pergaduhan dan penemuan seorang lelaki dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah oleh orang awam.
“Mangsa kemudiannya segera dihantar ke hospital dengan ambulans dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat kira-kira 27 kesan tikaman pada dada, leher dan atas abdomen yang dipercayai menggunakan sebilah pisau pendek,” katanya kepada pemberita hari ini.
Sementara itu, Saravanan berkata, hasil penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan lif dan pondok pengawal keselamatan mendapati kelibat dua suspek lelaki yang menaiki motosikal telah memasuki kawasan kondominium.
“Salah seorang daripada mereka telah menikam mangsa, manakala seorang lagi menunggu di motosikal sebelum melarikan diri.
“Motif kejadian masih dalam siasatan, namun dipercayai lebih kepada kes bunuh dan bukan samun,” katanya lagi.
Tambah beliau, mangsa merupakan peniaga nasi pada sebelah pagi di Pasar Awam Jalan Perak di sini dan dia juga didapati memiliki rekod lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – TVS