DUBAI, 6 Dis: Sarawak Energy Berhad (SEB) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan pembekal tenaga bersih milik kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abu Dhabi Future Energy Company PJSC, atau lebih dikenali sebagai Masdar hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Datuk Sharbini Suhaili menandatangani MOU bersama Ketua Pegawai Eksekutif Masdar, Mohamed Jameel Al Ramahi di Green Avenue, Ekspo Dubai, disaksikan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Perjanjian yang ditandatangani sempena COP28 yang berlangsung di Dubai menandakan hubungan kerjasama strategik dengan matlamat untuk memajukan projek tenaga boleh diperbaharui di seluruh Sarawak.
“Ketika Malaysia sedang bergerak ke arah sasaran bersih-sifar, adalah penting bagi negara untuk bekerjasama dalam memaksimumkan potensi penuh sumber tenaga boleh diperbaharui mereka.
“Kerjasama serantau adalah penting dan perkongsian kami dengan Masdar akan memainkan peranan penting dalam memajukan agenda masa depan yang mampan,” kata Sharbini.
Perjanjian itu tertumpu kepada usaha kerjasama dalam memajukan projek tenaga boleh diperbaharui, khususnya menekankan teknologi inovatif seperti teknologi Solar Photovoltaic (PV) dan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (BESS).
Antara sasaran penting yang digariskan dalam memorandum persefahaman tersebut adalah usaha sama membangunkan dua gigawatt (GW) projek tenaga boleh diperbaharui di Malaysia.
Fasa awal bertujuan untuk memulakan inisiatif bercita-cita tinggi ini adalah dengan memberi tumpuan dalam membangunkan satu GW projek di Sarawak. Di luar usaha niaga simpanan solar dan tenaga, kerjasama itu meluas untuk meneroka peluang dalam projek hidro di seluruh Malaysia.
Sementara itu, Mohamed Jameel berkata, Masdar berbangga dapat mengukuhkan sokongannya terhadap cita-cita tenaga boleh diperbaharui Malaysia melalui perkongsian ini.
“Sebagai perintis tenaga bersih dengan lebih 17 tahun pengalaman dalam melaksanakan projek tenaga boleh diperbaharui dan bersih secara berskala.
“Kami berharap dapat membantu membina kapasiti tenaga boleh diperbaharui Malaysia dengan perjanjian ini bagi menyokong sasaran bersih-sifarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sarawak, dengan potensi kuasa hidro sebanyak 20,000MW, telah memanfaatkan secara strategik 3.452GW daripada loji kuasa hidro seperti Bakun, Murum, dan Batang Ai, dengan tambahan 1.285GW dijangka daripada HEP Baleh menjelang akhir dekad ini.
Melambangkan satu langkah besar ke hadapan dalam memajukan kerjasama antarabangsa bagi pembangunan penyelesaian tenaga mampan dan boleh diperbaharui, perkongsian ini susulan MoU yang ditandatangani pada Oktober 2023 antara Masdar dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menandakan komitmen pelaburan sebanyak RM37 bilion (AS$8 bilion) untuk pembangunan sehingga 10 gigawatt (GW) projek tenaga boleh diperbaharui. – TVS