MUKAH, 4 Dis: Sebanyak 39 buah kediaman di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jemoreng berjaya dibaik pulih melalui Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin (PPRMS).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya berkata, projek melibatkan kerja pembaikan 22 buah rumah daif kaum Melanau dan 17 buah pintu rumah panjang Iban di Rumah Raya, Sungai Ilas itu merupakan salah satu geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP).
Usaha kerajaan di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg itu katanya, memberi manfaat besar kepada rakyat khususnya golongan memerlukan.
“Selain itu, kita juga berjaya menyiapkan beberapa lagi projek Transformasi Luar Bandar (RTP) baharu antara Oktober dan November lalu.
“Antara projek itu ialah pembinaan parkir awam berhampiran tanah perkuburan dan jalan utama ke Kampung Tian yang keseluruhannya bernilai RM320,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Juanda berkata, pelaksanaan kesemua projek terbabit membuktikan komitmen tinggi kerajaan dalam menjaga kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
RTP katanya, merupakan salah satu satu strategi penting dalam membantu usaha kerajaan meningkatkan ekonomi serta taraf hidup penduduk di pedalaman dan luar bandar.
Malah ujarnya, ia adalah sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif kerajaan ‘merakyatkan perkhidmatan’ selain menyediakan kemudahan untuk rakyat.
“Projek RTP lain yang telah berjaya disiapkan ialah kawasan parkir dan kawasan lintasan sungai di Kampung Jemoreng, di samping lintasan sungai dan parit Kampung Pergau.
“Pelaksanaan semua projek ini adalah bukti kesungguhan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk membawa pembangunan dan kesejahteraan kepada rakyat adalah satu usaha yang berterusan,” jelasnya. – TVS