KUCHING, Nov 28: Dalam usaha berterusan untuk memupuk keusahawanan dan inovasi dalam kalangan belia Sarawak, Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan mengumumkan program Sarawak Youth Business Idea Challenge (SAYBIC).
Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata program itu merupakan program ‘business pitching’, hasil kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Samarahan.
“Program ini memberikan peluang unik kepada usahawan yang bercita-cita untuk mengasah kreativiti, berdaya saing, dan kebolehan perniagaan mereka,” katanya dalam ucapan penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata kementeriannya juga mengumumkan 10 finalis dari institusi pengajian tinggi (IPT) terlibat dalam program ini.
“Finalis ini bakal mewakili pelbagai bakat yang wujud di rantau kita dan kementerian saya yakin bahawa idea perniagaan mereka akan memberi sumbangan yang signifikan kepada landskap ekonomi negeri ini.
“Dalam pada itu, kementerian saya mengucapkan penghargaan yang tulus kepada UiTM Kampus Samarahan atas sumbangan yang amat berharga dalam merealisasikan Sarawak Youth Business Idea Challenge.
“Kesungguhan dan sokongan mereka berperanan penting dalam menyediakan persekitaran yang kondusif untuk golongan usahawan muda ini berkembang maju,” ujarnya. – TVS