KUCHING, 20 Nov: Kerajaan Sarawak akan memperkenalkan metodologi baharu bagi membantu pihak swasta memenuhi peruntukan 30 peratus di setiap kawasan perumahan yang akan dibangunkan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan adanya penubuhan dana amanah tersebut, pihak pemaju perumahan hanya perlu mendepositkan nilai rumah ke dalam dana tersebut tanpa perlu melakukan kerja-kerja pembinaan.
“Saya ada idea baharu. Sebelum ini, apabila sektor swasta membangunkan skim perumahan untuk pembangunan bercampur terdapat banyak masalah.
“Mereka diwajibkan untuk memperuntukkan 30 peratus kira-kira 10 ekar untuk membangunkan perumahan kos rendah. Saya mahu menyesuaikan keadaan ini.
“Apa yang boleh  dilakukan sekarang, idea saya adalah mereka tidak perlu membina rumah secara fizikal untuk 30 peratus ini, sebaliknya menyumbang dari segi dana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap ketika menghadiri Majlis Makan Malam Jubli Emas Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) di Penview Convention Center di sini, malam tadi.
Katanya, kerajaan akan melaksanakan kerja-kerja pembinaan menerusi dana amanah untuk para pemaju bagi mengelak pembinaan rumah kos rendah berhadapan masalah terutama dari segi kualiti buatan rumah.
“Idea ini masih dalam peringkat perancangan dan akan dibentangkan kepada Kabinet dalam tempoh terdekat,” ujarnya. -TVS