KUCHING, 3 Nov: Penyanyi rock tanah air, Datuk Awie memuji tindakan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak menganjurkan konsert berskala besar termasuk penglibatan artis bertaraf antarabangsa di negeri ini.
Vokalis kumpulan Wings itu berkata ia secara tidak langsung membantu penggiat industri seni di Sarawak mengembangkan bakat.
“Saya rasa ini perubahan angin baharu di Sarawak. Ia sangat positif bagi pihak industri dan pekerja-pekerja seni.
“Kalau ada kemeriahan pastinya ada pertumbuhan ekonomi, jadi kita doakan semoga industri seni terus berkembang dan dapat membantu ramai orang,” katanya.
Beliau ditemui selepas rakaman sempena rancangan terbaharu terbitan TVS di sini pada Khamis.
Jelas penyanyi lagu ‘Dipenjara Janji ’ itu lagi, beliau sendiri berasa kagum dengan masyarakat di negeri ini yang sentiasa teruja dengan persembahan artis-artis jemputan menerusi penganjuran konsert.
“Sempena sambutan Sarawak Merdeka 60 Tahun saya ada menyertai persembahan di Padang Merdeka. Seramai kira-kira 40,000 rakyat Sarawak menyaksikan konsert tersebut. Itu sangat luar biasa.
“Saya harap tempo ini tidak perlahan dan terus berkembang.
“Kita bukan mengagung-agungkan konsert tetapi seperti yang saya nyatakan awal tadi, penganjuran seperti ini satu pertumbuhan ekonomi yang baik untuk anak-anak seni,” ujarnya. – TVS