KUCHING, 24 Okt: Penggiat seni di Sabah dan Sarawak didapati masih kurang memohon Dana Kandungan Digital (DKD) Kumpulan MyCreative Ventures (MyCreative).
Pengurus Kanan Pembangunan Industrinya, Muhammad Nadzmi Musa berkata, antara faktor yang menyumbang kepada perkara itu ialah kurang kesedaran mengenai kewujudan dana berkenaan dalam kalangan penggiat seni di dua Wilayah Borneo ini.
Pada masa sama kata beliau, kurangnya sesi libat urus dan penerangan mengenai inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) turut menyebabkan perkara itu berlaku.
“Kita lihat pemain industri di Sabah dan Sarawak berpotensi kerana terdapat aktiviti berkaitan di sini, oleh itu MyCreative ingin membantu melonjakkan lagi prestasi mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Jelajah DKD Industri Muzik 2.0 di Auditorium Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) di sini hari ini.
KKD melalui MyCreative sebelum ini memperuntukkan sebanyak RM12 juta kepada penggiat muzik menerusi DKD Industri Muzik 2023 bagi pusingan kedua.
Dana terbabit akan diagihkan kepada tiga kategori dengan peluang bantuan mencecah hingga RM300,000.
DKD Industri Muzik 2023 pusingan pertama pada awal tahun ini menyaksikan sebanyak RM10 juta diberikan kepada 43 penerima.
Mengenai jelajah berkenaan, Muhammad Nadzmi berkata, antara objektif utama adalah untuk membangunkan industri muzik yang berdaya saing dan memberi impak positif sekali gus mengembangkan ekosistem muzik negara.
“Ini merupakan jelajah pertama ke Sarawak, kita ingin memberi peluang kepada para penggiat seni di sini untuk menghasilkan karya kreatif berkualiti tinggi,” katanya.
Berkenaan syarat permohonan dana berkenaan, beliau memberitahu permohonan mestilah warganegara Malaysia, berusia 18 tahun ke atas dan tidak muflis.
“Kita juga mengambil kira faktor pengalaman muzik atau persembahan,” katanya. – TVS