MIRI, 14 Okt: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang pada Jumaat lalu ditemukan terapung dalam longkang di Jalan Sena dekat sini pagi tadi.
Mayat Hafizan Sawal, 33, dijumpai salah seorang ahli keluarga dalam keadaan terapung di dalam longkang kira-kira 1.5 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) pada jam 9 pagi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Ismaidi Ismail berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai penemuan itu kira-kira satu jam selepas operasi pencarian disambung semula pada jam 8 pagi tadi.
“Pasukan Keluaran Operasi kemudian pergi ke lokasi untuk mengambil mangsa dengan menggunakan alat pengusung.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, katanya, pihaknya telah mengerahkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 9.53 malam Jumaat.
“Bagaimanapun operasi pencarian pada malam tadi gagal menemui sebarang petunjuk mangsa sehingga operasi ditangguhkan pada jam 10.41 malam.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup jiran hadapan rumah, adik ipar mangsa memberitahu kali terakhir abang iparnya keluar dari rumah pada jam 10.48 malam Khamis lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu ketika dihubungi berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Mayat dibawa ke Hospital Miri untuk tindakan selanjutnya. -TVS