KUCHING, 10 Okt: Gambar-gambar tentang flora dan fauna hasil karya tiga orang jurugambar tempatan kini dipertontonkan kepada pengunjung ‘Wild About Kuching: Into The Wild Photographic Exhibition ’.
Menerusi pameran berkenaan, jurugambar Chien Lee, Gawen Breteche-Lo dan Bruce Teo menonjolkan keunikan dan kekayaan semula jadi di Borneo.
Pengurus pameran, Alexandre Ang berkata selain menampilkan kesenian fotografi, pameran seperti ini berupaya memberi kesedaran tentang pentingnya ekosistem dan biologi.
“Pameran ini adalah idea yang baik untuk orang ramai mengetahui karya jurugambar alam semula jadi.
“Semua karya seni istimewa ini adalah untuk dijual dengan harga berpatutan. Gambar dipamerkan ini mempunyai nilai yang jauh lebih berharga berbanding harganya,” katanya kepada TVS di sini, hari ini.
Pameran bertempat di pusat beli-belah The Spring itu diadakan sehingga hujung Oktober ini.
Ia menjanjikan pengalaman yang unik kepada para pengunjung yang meminati seni fotografi alam semula jadi. – TVS