Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada persidangan Dewan Rakyat di Parlimen. Foto: Bernama

Program bantuan untuk petani, penternak di Sarawak

ByFebbright James

KUALA LUMPUR, 10 Okt: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) terus aktif melaksanakan program pembangunan dalam sektor agromakanan bagi membantu petani, penternak serta pesawah terutamanya di kawasan pedalaman negeri Sarawak.

Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu bagi tahun 2023, di bawah Rolling Plan Ketiga (RP3), Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM21.5 juta bagi pelaksanaan pelbagai program pertanian di negeri Sarawak.

“Ia melibatkan seramai lebih 1,000 orang petani yang menerima manfaat hasil pelaksanaan program-program tersebut. Antara program tersebut termasuk Program Pembangunan Industri Buah-Buahan di pelbagai daerah di Sarawak, antaranya Bau, Lundu, Samarahan, Serian, Siburan, Saratok, Sibu, Selangau, Daro, Subis, dan Lawas

“Selain itu, pogram Pembangunan Tanaman Sayuran dan Kontan di pelbagai daerah di Sarawak, antaranya di Samarahan, Asajaya, Simunjan, Gedong, Sri Aman, Pantu, Sarikei, Kapit, Limbang, dan Lawas dan Program Pembangunan Industri Kelapa di Pelbagai Daerah di Sarawak, iaitu Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian, Saratok, Sarikei, Sibu, Selangau, Kanowit, Bintulu, Miri, dan Marudi,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong mengenai bantuan yang diberikan oleh kementerian kepada petani, penternak dan pesawah di kawasan pedalaman Sarawak.

Tambahnya, sebanyak dua projek pembangunan dilaksanakan untuk pesawah dengan peruntukan sebanyak RM3 juta serta memberi manfaat kepada lebih dari 19,000 orang pesawah.

“Untuk pesawah, dua projek dilaksanakan iaitu Projek Pembangunan Padi di Tanjung Purun, Lundu dan Pembangunan Industri Padi dan Beras di Serian, Sri Aman, dan Bario.

“Manakala bagi industri ternakan, sebanyak empat projek dilaksanakan di negeri Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM12 juta ini telah memberi kepada 1,345 orang penternak termasuk Pembangunan Industri Ternakan Lembu, Pembangunan Industri Ternakan Kambing, Pembangunan Industri Ternakan Kerbau dan Pembangunan Stesen Ternakan Kerbau, Maragang, Lawas,” ujarnya.

Mengulas lanjut, kementerian akan menyediakan pelbagai bentuk bantuan kepada petani dan pesawah bagi meningkatkan pengeluaran padi di Sarawak termasuk melaksanakan projek pengairan dan saliran yang baik di sawah-sawah. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan