KUALA LUMPUR, 10 Okt: Selaras dengan permohonan Kementerian Kesihatan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada 25 dan 26 September 2023 telah meluluskan pelantikan tetap seramai 1,912 calon simpanan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi untuk mengisi baki kekosongan jawatan tetap.
Kelulusan ini melibatkan sejumlah 1,226 calon simpanan pegawai perubatan, 216 calon simpanan pegawai pergigian dan 470 calon simpanan pegawai farmasi. Pelantikan ini adalah selaras dengan baki kekosongan sedia ada dan kelulusan perjawatan tetap oleh agensi pusat pada tahun 2023.
Urusan tawaran pelantikan tetap dan penerimaan tawaran oleh calon simpanan sedang dilaksanakan menerusi Sistem Tawaran Pelantikan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (MySTP SPA) dalam tempoh 21 hari bermula pada 2 Oktober 2023.
Sepertimana urusan terdahulu, bagi memastikan ketelusan dalam pelaksanaan, semua calon diberi ruang untuk memilih sendiri penempatan secara dalam talian menerusi sistem e-placement iaitu sistem e-housemen untuk pegawai perubatan, sistem e-dentist untuk pegawai pergigian dan sistem e-pharmacist untuk pegawai farmasi.
Berdasarkan kepada pengisian semasa, jumlah kekosongan jawatan di Lembah Klang dan wilayah tertentu adalah sangat terhad. Sehubungan itu, pegawai termasuk pasangan yang berkhidmat dalam salah satu perkhidmatan, boleh merancang dan memilih penempatan di luar Lembah Klang termasuklah memilih penempatan di kawasan luar bandar dan pedalaman Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Pemilihan penempatan di luar Lembah Klang juga mempunyai kelebihan dari segi kos sara hidup, pegawai boleh mendapat insentif seperti Bayaran Insentif Wilayah dan pegawai boleh mendapat pengalaman kerja yang berbeza.
Seperti yang dijelaskan dalam sistem e-placement, pemilihan penempatan ini adalah diwajibkan bagi tujuan pengesahan melapor diri bertugas. Calon dikehendaki mengakses sistem e-placement dan membuat pilihan penempatan pada tempoh yang ditetapkan. Tawaran pelantikan tetap akan terbatal sekiranya tiada pemilihan penempatan dibuat dalam sistem e-placement.
Tarikh pilihan penempatan yang perlu diberi perhatian oleh semua calon simpanan adalah seperti berikut:
Sila klik di sini: http://mrem.bernama.com/mrembm/nteprimages/17540.jpg
Calon juga perlu membuat semakan mengenai tarikh pemilihan penempatan menerusi e-mel peribadi yang telah didaftarkan di portal pengambilan SPA9 semasa permohonan pelantikan tetap dan membuat persediaan sewajarnya.
Selaras dengan keprihatinan Kementerian Kesihatan terhadap kebajikan pegawai, khususnya bagi calon simpanan yang sedang mengikuti pengajian kepakaran, berjauhan dengan pasangan atau mengalami masalah kesihatan yang serius, KKM turut menyediakan saluran untuk rayuan menerusi google form. Sehubungan dengan itu, calon yang berhasrat untuk mengemukakan rayuan boleh berbuat demikian melalui pautan google form dalam tempoh berikut:
Sila klik di sini: http://mrem.bernama.com/mrembm/pdf/17540%20Pautan.pdf
Bagi calon yang menghadapi masalah kesihatan yang serius, semakan silang akan dilaksanakan dengan laporan pemeriksaan kesihatan yang dikemukakan dalam sistem MySTP bagi menentusahkan tahap dan status kesihatan. Rayuan yang dikemukakan selepas hari akhir rayuan tidak akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Rayuan Penempatan. Ini bagi memastikan keputusan rayuan dapat dimaklumkan lebih awal dan tidak mengganggu urusan persiapan melapor diri bertugas.
Calon akan menerima pemakluman penempatan di peringkat fasilliti daripada JKN mulai 14 November 2023. Tarikh lantikan tetap calon adalah berkuat kuasa pada tarikh lapor diri bertugas iaitu 18 Disember 2023. Namun begitu, mana-mana calon yang dibenarkan untuk membuat penangguhan oleh Ketua Jabatan baharu, tarikh kuat kuasa pelantikan tetap akan berubah mengikut tarikh baharu yang diluluskan. Calon simpanan masih berstatus kontrak sepanjang tempoh penangguhan.
Tindakan Yang Perlu Diambil Bagi Tujuan Pemilihan Penempatan Melalui Sistem e-placement
(i) Log masuk ke sistem e-placement dalam tempoh ditetapkan;
(ii) Memilih penempatan di JKN yang ditawarkan dalam sistem e-placement;
(iii) Cetak slip pengesahan pemilihan penempatan;
(iv) Membuat semakan penempatan ke fasiliti dengan JKN masing-masing mulai 14 November 2023; dan
(v) Melapor diri bertugas ke fasiliti pada 18 Disember 2023 kecuali calon yang telah diluluskan penangguhan oleh Ketua Jabatan baharu.
KKM mengucapkan SELAMAT MAJU JAYA kepada semua calon simpanan yang terlibat dalam urusan pengambilan tetap pada kali ini.
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
10 OKTOBER 2023
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia
UNTUK MAKLUMAT LANJUT, SILA HUBUNGI:
Nama: Farahdila Wati binti Mohd Khamde Khuzaini
Pegawai Perhubungan Awam
Tel: +603-8883 3470
Faks: +603-8888 6187