Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang ejen hartanah lesap kira-kira RM400,000 apabila terpedaya dengan kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan. Foto hiasan: Envato

‘Keuntungan’ yang disusuli dengan kerugian besar

KUCHING, 10 Okt: Seorang ejen hartanah di sini lesap kira-kira RM400,000 apabila terpedaya dengan kerja sambilan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato’ Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, lelaki berusia awal 30-an  telah melayari laman web sebuah syarikat pada penghujung Ogos 2023, sebelum nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan telegram.

“Mangsa diberikan satu pautan untuk membolehkan mangsa mendaftar akaun bagi menyelesaikan tugasan dan penerangan cara-cara tugasan yang perlu dilakukan iaitu pembayaran stok barang syarikat dipesan pelanggan.

“Mangsa kemudian dikehendaki membuat bayaran ke atas setiap pesanan barangan yang diminta pelanggan dan dijanjikan keuntungan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurutnya lagi, mangsa melakukan 45 transaksi pemindahan wang secara dalam talian ke 12 akaun bank yang berlainan pada penghujung Ogos sehingga penghujung September 2023.

“Mangsa menerima keuntungan berjumlah RM15,985 pada dua minggu pertama sahaja,” jelasnya.

Lelaki berkenaan hanya menyedari ditipu apabila tugasan pembayaran barang yang diminta semakin meningkat dan jumlah barang yang perlu dibayar turut semakin bertambah sedangkan tiada keuntungan diterima mangsa selepas itu.

Mangsa cuba menghubungi syarikat berkenaan untuk meminta pulangan modal namun gagal.

Laporan polis dibuat pada 9 Oktober untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

“Orang ramai dinasihatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pekerjaan melalui media sosial yang menjanjikan pulangan yang lumayan atau ‘too good to be true’,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan