Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Armizan Mohd Ali berkata KPDN sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan beras palsu di Sandakan. Foto fail

KPDN siasat dakwaan beras palsu di Sandakan

ByBernama

KOTA KINABALU, 9 Okt: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung dakwaan beras palsu di Sandakan baru-baru ini.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata penyiasatan telah dilakukan serta-merta oleh KPDN Cawangan Sandakan di bawah Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan 2011.

“Lawatan telah dilakukan di premis terlibat, manakala maklumat tambahan juga sedang diperoleh daripada pengadu yang telah memviralkan video tersebut selain menyemak invois daripada peruncit dan juga pembekal.

“Namun pada peringkat ini kita perlu meneliti kesahihan dakwaan itu dan mendapatkan bukti-bukti berkaitan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) menyampaikan watikah pelantikan kepada 114 pegawai teknikal lantikan kontrak melibatkan Jurutera Gred J41, Penolong Jurutera Gred JA29 dan Penolong Juruukur Bahan Gred JA29 di Sabah.

Tular di media sosial baru-baru ini sebuah video seorang individu mendakwa beras yang dijual di sebuah premis di daerah Sandakan adalah beras palsu yang mempunyai bahan plastik.

Sementara itu, Armizan berkata pegawai teknikal terbabit akan ditempatkan di 38 pejabat daerah di seluruh negeri, dengan seorang jurutera dan dua penolong jurutera atau juruukur bahan ditempatkan di setiap pejabat daerah.

Katanya pelantikan itu susulan resolusi Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat 2023 anjuran ICU JPM pada 16 hingga 17 Jun di Merbok, Kedah, yang antara lain menyatakan keperluan memperkukuhkan unit teknikal pejabat daerah bagi meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian pelaksanaan projek kecil Persekutuan di peringkat daerah.

“Program rintis ini akan dilaksanakan melalui pelantikan kontrak selama tiga tahun yang sekali gus memberikan peluang dan pengalaman kerja untuk para belia tempatan yang berkelayakan dalam bidang teknikal kejuruteraan awam, ukur bahan dan elektrik,” tambahnya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan