LUBOK ANTU, 7 Okt: Dua wanita maut manakala dua lelaki termasuk seorang kanak-kanak terselamat selepas pikap yang mereka naiki terjunam ke dalam sungai di Kampung Semueh Baru dekat sini, pagi tadi.
Kejadian kira-kira 11 pagi itu, mangsa yang maut berusia dalam lingkungan 40 hingga 50-an manakala dua lagi penumpang termasuk seorang lelaki warga emas berusia 60-an dan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun selamat.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Zon 3, Penguasa Bomba (PgB) Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 11.29 pagi.
“Pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong seramai enam anggota telah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan bersama dengan satu jentera dan sebuah EMRS.
“Setiba di lokasi, pihak kami mendapati kemalangan melibatkan sebuah pikap jenis Toyota Hilux berada dalam keadaan terbalik di sungai berkenaan.
“Dua mangsa yang merupakan seorang pemandu lelaki warga emas dan seorang kanak-kanak lelaki telah berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan telah dihantar ke Klinik Merindun sebelum pasukan bomba sampai di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Beliau berkata, dua lagi mangsa wanita dewasa yang turut dikeluarkan oleh orang awam daripada kenderaan berkenaan.
“Bagaimanapun, dua mangsa wanita terbabit telah disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian.
“Kesemua identiti mangsa yang terlibat belum dikenal pasti kerana pasukan keluaran operasi tidak menjumpai sebarang pengenalan diri di tempat kejadian,” katanya.
Kedua-dua mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lubok Antu, Deputi Superintendan (DSP) Victor Ripon ketika dihubungi mengesahkan satu laporan diterima berhubung kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.-TVS