IPOH, 2 Okt: Polis Perak memberkas 1,607 individu yang disyaki terbabit dalam kegiatan perjudian secara haram dalam tempoh Januari lalu sehingga September.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 1,388 serbuan berjaya dibuat pihaknya sepanjang tempoh tersebut menerusi Ops Dadu Khas dalam usaha membanteras kegiatan berkenaan secara proaktif.
Ujar beliau, ia merangkumi 325 tangkapan kes judi dalam talian, calling centre (19), loteri awam haram (868), judi dalam bangunan (90), judi tempat bebas (126) dan catit taruh haram (179).
“Sebanyak 397 alat peranti berupa telefon bimbit, komputer dan pencetak dirampas selain wang tunai RM246,793.
“Sebanyak 839 pertuduhan ke atas tangkapan telah dilakukan dalam tempoh operasi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Kita berjaya membuat 90 pemotongan bekalan elektrik ke atas premis-premis perjudian di bawah Seksyen 21(A) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Sekatan turut dibuat ke atas 55 laman web berunsur perjudian atas talian dan 53 permohonan pembatalan lesen perniagaan,” katanya lagi.
Ujar beliau, bagi tempoh sepanjang September lepas, sebanyak 178 serbuan telah berjaya dibuat dengan tangkapan seramai 203 orang. – TVS