KUCHING, 19 Sept: Seiring dengan matlamat mengutamakan prinsip tadbir urus, sosial dan alam sekitar (ESG) Kerajaan Sarawak menggalakkan pemaju hartanah untuk mematuhi Indeks Bangunan Hijau (GBI).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ke arah itu, pihaknya bekerjasama rapat dengan para penilai, arkitek serta jurutera agar metodologi yang sama untuk perancangan bandar dapat dicapai.
Katanya, ini secara terus juga akan meningkatkan nilai bangunan yang dibina.
“Saya percaya ASEAN (juga) boleh mempunyai metodologi sama membabitkan nilai hartanah,” katanya.
Abang Johari berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Kongres Persatuan Penilai ASEAN (AVA) Ke-25 di sini, hari ini.
Sementara itu, Abang Johari berkata, pembinaan yang disahkan GBI juga bergantung kepada sesuatu lokasi.
“Namun yang penting ialah mewujudkan persekitaran yang kondusif dan baik untuk penduduk sekitar.
“Saya berharap ahli kongres akan memberikan idea baharu mengenai cara untuk kita mengubah kaedah perancangan bandar dan menentukan nilai hartanah,” katanya. – TVS