SADONG JAYA, 9 Sept: Projek pembinaan tujuh jambatan yang menghubungkan jalan persisir di Sarawak sepanjang 896 kilometer (km) dijangka akan siap pada 2025.
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (Pembangunan Infrastruktur) Ir Aidel Lariwoo berkata, setakat ini enam projek mengikut jadual dan hanya satu yang mengalami sedikit kelewatan.
Kata beliau kelewatan membabitkan pembinaan Jambatan Rambungan berikutan projek itu diambil alih oleh kontraktor penyelamat.
“Secara keseluruhan projek pembinaan Jambatan Batang Lupar, Jambatan Batang Paloh, Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Jepak mengikut jadual asal dan akan siap mengikut tarikh yang telah ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Teknikal Sadong Coastal Road Run, di Pusat Khidmat, Sadong Jaya, di sini hari ini.
Sementara itu belia memberitahu, pembinaan Jambatan Batang Lupar juga sedikit di belakang jadual namun masih belum dikategorikan sebagai projek sakit.
“Ketika ini, proses memasang sambungan jambatan itu sedang giat dilaksanakan dari Sebuyau ke Pulau Trisso.
“Pembinaan tapak asas di Pulau Trisso ke Kampung Trisso pula sudah selesai bagi pembinaan tiang sokongan utama jambatan tersebut,” katanya.
Aidel berkata, apabila siap kelak, kesemua projek-projek berkenaan akan menghubungkan jalan pesisir lama dengan laluan baharu.
“Ini termasuk sambungan ke Lebuhraya Pan Borneo menerusi jaringan jalan kedua Sarawak.
“Oleh sebab itu, kita bina satu lagi laluan di antara lebuh raya itu dan Jajaran Laluan Kedua Sarawak yang kini dalam proses pembinaan,” katanya.-TVS


