KUCHING, 3 Sept: Petinju sensasi Sarawak, Daeloniel Mcdelon berikrar untuk membawa pulang kejuaraan pada Siri Tinju Asia ke Bumi Kenyalang.
Hasrat berkenaan diluahkan atlet yang dikenali sebagai ‘kilat boy’ itu selepas Kerajaan Sarawak bersetuju untuk membantunya bersaing di pentas kejohanan berprestij itu.
Daeloniel, 24, juara Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lepas berkata, selepas mendapat maklumat positif mengenai sokongan dihulurkan itu, dia sudah memulakan latihan.
“Saya beriltizam untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak yang diterajui oleh Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Mengulas lanjut, Daeloniel berkata, walaupun kancah saingan berkenaan mencabar namun dia tidak gentar.
“Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik,” katanya.
Ketika ini Daeloniel memaklumkan, dia sedang menunggu keputusan penganjur sama ada akan bertarung di Dubai atau Bangkok pada Oktober ini.
Sementara itu dia turut berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang sentiasa membantu atlet kelahiran negeri ini mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa.
Baru – baru ini Daeloniel sekali lagi mengecap nikmat bergelar juara apabila mengungguli Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023 di Sri Aman, bulan lepas. – TVS