SRI AMAN, 27 Ogos: Petinju sensasi Sarawak, Daeloniel McDelon kembali mengecap nikmat bergelar juara apabila mengungguli Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023 malam tadi.
Beraksi di hadapan ribuan penyokongnya, atlet kelahiran Simanggang itu gagah menewaskan Oky Akbar dari Indonesia dalam perlawanan akhir super featherweight kategori 57 kilogram (kg) di Stadium Tertutup Sri Aman.
Daeloniel atau dikenali sebagai kilat boy berkata, perlawanan itu tidak mudah kerana menerima tentangan sengit sebelum mencatatkan keputusan 180-159 yang memihak kepadanya.
“Pada perlawanan tadi, di pusingan kedua saya berjaya membuat satu pukulan knock down kepada lawan namun sebenarnya saya tidak begitu yakin.
“(Apa yang mampu saya lakukan ialah) kekalkan fokus pada pusingan ketiga hingga ke pusingan keenam,” katanya selepas perlawanan.
Perlawanan itu turut disaksikan Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu.
Mengulas lanjut, Daeloniel yang beraksi pada Sukan SEA Kemboja Mei lepas berkata, perlawanan akhir itu sangat mencabar malah dia sebenarnya ‘lambat panas’.
“Saya mula menemui rentak pada pusingan kelima dan pusingan ke enam,” katanya.
Kemenangan itu juga beremosi buat Daeloniel apabila dia dilihat mengalirkan air mata selepas disahkan sebagai pemenang.
Ditanya mengenai pertandingan seterusnya selepas ini, Daeloniel memberitahu, dia bercadang untuk menyertai perlawanan Dubai pada Oktober ini.
Sokong hasrat ‘kilat boy’ bertanding di Dubai – Abdul Karim
“(Bagaimanapun bergantung) kalau ada peruntukan. Ini kerana perlawanan di sana menawarkan mata ranking,” katanya.
Sementara itu aksi malam tadi turut tertumpu kepada perlawanan merebut gelaran Persatuan Boxing Asia (ABF) Championship yang menyaksikan petinju Jepun, Toshihiko Era berjaya memecahkan rekod tanpa kalah Frenky Rohi dari Indonesia menerusi pukulan technical knock out (TKO) di pusingan pertama. -TVS