KUCHING, 20 Ogos: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lelaki warga emas yang masih hilang dikhuatiri dibaham buaya di Kampung Ulak, Limbang, memasuki hari ketiga hari ini masih gagal menjumpai mangsa.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, Sahari Mail, 66, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya pada tengah hari Khamis lalu ketika hendak mencari rotan dan membubu ikan di sungai kampung berkenaan.
Pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang menerima panggilan kecemasan pada Jumaat jam 8 pagi untuk mencari mangsa yang dikhuatiri dibaham buaya di kawasan itu.
“Operasi SAR bermula pada jam 9.20 pagi tadi melibatkan sembilan buah bot orang kampung, pasukan Bomba Sukarela, satu bot Polis Marin dan satu bot APM dan satu bot Jabatan Hutan Sarawak.
“Pihak kami melakukan pencarian di hilir dan hulu sungai dalam radius dua kilometer dari kawasan terakhir mangsa dikhuatiri hilang,” jelas kenyataan itu.
Pasukan Bomba menggunakan bot penyelamat dan membuat ‘teknik donut’ untuk tujuan pengapungan mangsa di kawasan mangsa terjatuh, namun mangsa masih tidak ditemukan. – TVS