KUCHING, 8 Ogos: Kerajaan Sarawak menawarkan program penajaan bursary untuk membantu meringankan beban pelajar melanjutkan pelajaran di peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) seluruh negeri.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, bursary merupakan penajaan di peringkat persediaan sebelum pelajar melanjutkan pengajian Ijazah Pertama dalam pelbagai bidang di universiti sama ada di dalam atau luar negara.
“Kolej Universiti i-CATS (iCats) merupakan universiti milik Kerajaan Sarawak juga tidak ketinggalan dalam menerima bantuan yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Konvokesyen ke-25 Sarawak Skills dan Kolej Universiti i-CATS di sini, hari ini.
Dedahnya lagi, Kolej Universiti i-CATS bakal mempunyai kampus baharu dilengkapi dengan peralatan teknologi terkini bagi memudahkan urusan pembelajaran dan pengajaran.
“Saya berharap dengan adanya kampus baharu ini, kita dapat melahirkan lebih banyak para graduan sains gunaan.
“Melalui kampus baharu ini juga, Kolej Universiti i-CATS akan setanding dengan universiti lain seluruh Malaysia,” tambahnya lagi.
Terdahulu, Abang Johari yang juga merangkap Canselor Kolej Universiti i-CATS pernah memberitahu bahawa Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan dana lebih RM200 juta bagi pembinaan kampus baharu Kolej Universiti i-CATS berhampiran Kampung Trombol di Telaga Air.
Katanya lagi, kampus baharu tersebut turut menyasarkan pelajar antarabangsa, selain pelajar tempatan. – TVS.



