PAKAN, 29 Julai: Seorang warga emas yang dilaporkan hilang selepas keluar mencari umbut di hutan berhampiran rumahnya ditemui selamat petang tadi selepas lebih 30 jam hilang.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie berkata, Ajai Dana, 69, ditemui pada pukul 2.14 petang kira-kira satu kilometer dari laluan masuk ke hutan.
“Mangsa ditemui lengkap memakai baju kemeja-T lengan pendek berwarna biru dan berseluar pendek.
“Mangsa sudah diserahkan kepada ahli keluarga. Selain itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa terus ditamatkan pada jam 4. 00 petang tadi,” katanya ketika dihubungi TVS pada Sabtu.
Menurut Andy, usaha pencarian awal dijalankan oleh penduduk rumah panjang namun gagal menyebabkan ahli keluarganya tampil membuat laporan polis.
Andy berkata, Ajai dipercayai keluar dari rumah kira-kira jam 8 pagi pada Jumaat sebelum anaknya menyedari bapanya tidak pulang sehingga lewat petang semalam.
Tambahnya agensi lain yang terlibat dalam operasi SAR itu termasuk enam anggota polis, tujuh anggita Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta 50 orang penduduk rumah panjang. – TVS