KUCHING, 27 Julai: Sarawak berhasrat membutirkan enam pingat emas pada Kejohanan Tinju Terbuka Sarawak 2023 di Stadium Tertutup Sri Aman pada 20 hingga 26 Ogos depan.
Menurut Pengurus Skuad Tinju Sarawak, Gulbudin Hekmatayer Rahman, edisi kali ini Sarawak hanya menghantar petinju dalam kategori had umur Sukan Malaysia (SUKMA) iaitu atlet berusia 16 hingga 21 tahun dan tidak bertarung dalam kategori elit.
“Kita tidak hantar untuk kategori elit, kita fokus dengan kategori had umur SUKMA sahaja kerana fokus Persatuan Tinju Sarawak adalah untuk mempersiapkan pasukan Sarawak untuk beraksi pada temasya SUKMA 2024.
“Mengambil kira prestasi di Kejohanan Golden Glove di Terengganu Mei lalu, kita yakin tiga petinju kita iaitu Rafieq Mursyidi kategori 67 kilogram (kg), Peter Nyanggung; kategori 57 kg dan Hamiesya; kategori wanita 63 kg akan meraih emas.
“Kita yakin tiga emas lagi akan dibutirkan menerusi petinju lain memandangkan prestasi mereka di tahap yang memberangsangkan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, secara keseluruhan, Sarawak akan menghantar 24 petinju lelaki dan lapan petinju wanita yang akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu A dan B.
Gulbudin menambah setakat hari ini beberapa negeri telah mengesahkan penyertaan iaitu Terengganu, Johor, Sabah, Pulau Pinang, Melaka dan Wilayah Persekutuan Labuan.
“Kejohanan itu juga menerima penyertaan dari negara luar seperti Indonesia yang menghantar dua pasukan masing-masing kelab tinju dari Batam dan Kalimantan.
“ Ia juga menerima penyertaan dari Singapura dan Brunei,” jelasnya.
Dalam pada itu, Gulbudin menaruh keyakinan bahawa kejohanan edisi kali ini akan meraih jumlah penonton yang lebih tinggi berbanding tahun 2022 memandangkan petinju sensasi dari Sarawak Daeloniel Mcdelon atau ‘kilat boy’ akan beraksi.
“Kejohanan ini lebih istimewa kerana Mcdelon akan turun beraksi dalam kategori profesional menentang petinju Indonesia.
“Mcdelon akan beraksi untuk rekod profesional dia.
“Jadi kita yakin akan melepasi sasaran 5,000 penonton berbanding tahun lepas,” katanya.
Untuk rekod, Sri Aman yang terkenal dengan fenomena benak tampil menjadi gelanggang untuk kali yang keduanya kali ini selepas penganjuran sulung tahun lepas. – TVS