Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Billy Sujang (kiri), Dato Gerald Rentap Jabu (tengah), dan Miro Simuh (kanan) pada Majlis Sambutan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka 60 Tahun di Dewan Suarah Bau, hari ini. Foto: Hafeezzur Muzamir (TVS)

Rakyat harus bangga raikan Hari Sarawak, syukuri perpaduan – Miro

ByHafeezzur Muzamir

BAU, 20 Julai: Rakyat diingatkan untuk meraikan Hari Sarawak pada 22 Julai ini, dengan penuh rasa bangga sebagai tanda mensyukuri perpaduan yang dinikmati pada hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serembu, Miro Simuh sehubungan itu menegaskan Sambutan 60 Tahun Sarawak Merdeka merupakan paltform terbaik untuk menterjermahkan semangat patriotisme dalam kalangan anak Sarawak.

“60 tahun bukan suatu tempoh yang singkat kerana sepanjang tempoh 60 tahun lalu pelbagai peristiwa telah berlaku dalam kehidupan kita (masyarakat) di negeri ini.

“Pelbagai peristiwa yang dicatat dan tidak dicatat di dalam sejarah berlaku dalam tempoh 60 tahun itu merupakan perjuangan bagi rakyat Sarawak,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka 60 Tahun di Dewan Suarah Bau, pada Khamis.

Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Opar, Billy Sujang.

Sementara itu, Miro turut menegaskan generasi muda perlu mengenang dan menghargai jasa serta pengorbanan pejuang kemerdekaan terdahulu dan meneruskan perjuangan yang ditinggalkan mereka dengan menjaga keharmonian dan perpaduan yang dinikmati Sarawak.

“Janganlah kita lalai dalam menjaga perpaduan yang kita miliki di Sarawak ini kerana ia amat penting untuk dijaga bagi kita menjadikan Sarawak sebagai negeri paling maju dan makmur untuk masa depan anak-anak Sarawak,” tegasnya.

Terdahulu, majlis berkenaan telah meraikan ketibaan Konvoi Kembara Sarawak Merdeka yang disertai 100 peserta terdiri daripada 60 motosikal berkuasa tinggi, 30 kenderaan pacuan empat roda dan 30 kenderaan lain yang merangkumi agensi kerajaan dan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dewan Suarah Bau merupakan lokasi terakhir persinggahan konvoi berkenaan bagi Bahagian Kuching sekali gus melengkapkan jelajah yang bermula dari Limbang pada 28 Mei lalu.

Pada Sabtu ini, peserta konvoi akan menyerahkan bendera kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Padang Merdeka. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan