LIMBANG, 16 Julai: Polis berjaya merampas syabu seberat 4.101 kilogram (kg) selepas menahan tiga individu dalam satu operasi di Jalan Melinau Ulu Mendamit, dekat sini, pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot berkata, kesemua suspek yang berasal dari Miri itu diberkas ketika mereka berada dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda kira-kira pukul 3 petang.
Kata beliau, pemeriksaan lanjut dalam kenderaan berkenaan menemukan dadah itu yang dianggarkan bernilai RM132 000.
“Suspek pertama yang merupakan penganggur didapati mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan dadah manakala dua lagi suspek tidak mempunyai rekod.
“Ujian saringan air kencing yang dilakukan pula mendapati kesemua mereka positif dadah,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Kata Parum, syabu yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan sebanyak 20,500 kali penggunaan.
“Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. -TVS