BALASORE, India, 7 Jun: Siasatan rasmi terhadap kejadian nahas kereta api paling maut di India dalam tempoh dua dekad telah dimulakan pada Isnin.
Dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu, sebuah kereta api penumpang melanggar kereta api barang yang tidak bergerak sebelum melanggar sebuah lagi kereta api penumpang yang melalui arah bertentangan berhampiran daerah Balasore di negeri timur Odisha.
Memetik laporan dari AFP, sekurang-kurangnya 275 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera.
Lebih 200 maut, ratusan cedera kereta api bertembung di India
Siasatan awal menunjukkan kegagalan isyarat berkemungkinan menjadi punca pelanggaran tersebut namun ia akan mengambil masa untuk melihat daripada semua kemungkinan.
Sehingga petang Isnin, kira-kira 100 mayat masih belum dikenal pasti, kata seorang pegawai kanan jabatan kesihatan negeri kepada Reuters.
Pihak berkuasa India merayu kepada keluarga mangsa untuk membantu mengenal pasti lebih 100 mayat yang masih tidak dituntut di hospital dan bilik mayat.
Menurut Pengarah Kesihatan Odisha, Bijay Kumar Mohapatra, pihak berkuasa sedang berusaha mendapatkan ais untuk membantu ‘memelihara’ mayat.
Hal ini kerana di bawah peraturan negeri Odisha tiada bedah siasat boleh dijalankan ke atas mayat yang tidak dituntut sehingga tempoh 96 jam berlalu.
“Melainkan mereka dikenal pasti, bedah siasat tidak boleh dilakukan,” katanya kepada Reuters.
Di hospital terbesar di ibu negara Bhubaneswar, Institut Sains Perubatan Seluruh India (AIIMS), gambar-gambar mangsa yang terkorban dipaparkan di skrin televisyen besar bagi membantu ahli keluarga untuk ke hospital dan bilik mayat bagi sesi tuntutan mayat.
Susulan usaha tanpa henti untuk menyelamatkan mangsa yang terselamat dan membaik pulih landasan, perkhidmatan kereta api dua hala telah disambung semula pada malam Ahad lalu. – TVS