KUALA LUMPUR, 6 Jun: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak akan dikembalikan dalam masa terdekat ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying.
Beliau berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat masa kini sedang memfokuskan kepada pembangunan holistik murid melalui pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
“PBS dan PBD memberi ruang dan peluang untuk membangunkan potensi murid secara menyeluruh dan berterusan. Buat masa sekarang, kita tidak akan mengembalikan UPSR dan PT3,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin yang ingin tahu jika KPM bercadang untuk mengembalikan UPSR dan PT3 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam pada itu menjawab soalan asal Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Roslan Hashim mengenai langkah untuk mengukuhkan pelaksanaan PBS dan PBD, beliau berkata dapatan daripada libat urus berkenaan hala tuju PBS dan PBD akan dibincangkan dalam sebuah kovensyen yang diadakan hari ini hingga esok.
Pihaknya juga telah mengemaskini Buku Panduan Pelaksanaan PBD edisi kedua 2019 dengan melampirkan senarai semak bagi pelaksanaan proses penjaminan kualiti iaitu pementoran, pemantauan, pengesanan dan penyelarasan.
UPSR telah dimansuhkan pada 2021 manakala peperiksaan PT3 dibatalkan pada 2022. – TVS


