Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Foto: BERNAMA

Kerajaan tidak benarkan sistem beraja diperolok atas nama kebebasan – PM Anwar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 5 Jun: Kerajaan tidak akan bertolak ansur atau membenarkan sistem beraja diperolok dan diganggu-gugat atas nama kebebasan di negara ini, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Lantaran itu, beliau berkata, kerajaan pastinya akan mempertahankan sistem beraja dengan memastikan tindakan yang setimpal diambil ke atas mana-mana pihak yang cuba mengancam institusi itu dan keluhuran Perlembagaan.

“Sesuai dengan bidalan Melayu bahawa, ‘Biar patah dayung di tangan, dengan jari ku kayuh jua’.
“Raja laksana pohon dan tentunya institusi ini mesti tersemat dipelihara dengan baik,” katanya ketika merafak sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023 di Istana Negara di sini, hari ini.

Istiadat berkenaan berlangsung bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan yang lahir daripada cetusan kebijaksanaan Seri Paduka, telah berjaya mempertaut kesatuan dan permuafakatan sekali gus mewujudkan kestabilan dalam politik negara.

Beliau berkata, ia memberi ruang ke arah pertumbuhan ekonomi negara; keyakinan pelabur domestik dan luar negara; mengatur tatakelola pemerintahan yang mampan dan wajar menjamin kesejahteraan serta keselesaan rakyat.

Justeru, Anwar berkata, Kerajaan Perpaduan beriltizam untuk berusaha dengan tekun memacu pertumbuhan dan mempertahankan keadilan dan nilai murni manusiawi dengan berbekalkan tekad serta semangat ‘Membangun Malaysia MADANI’.

Perdana Menteri dalam ucapannya bagi mewakili Jemaah Menteri dan rakyat itu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka.

“Rakyat sekalian berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku dan Raja Permaisuri Agong (Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) serta kerabat sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya, kekal karar di singgahsana pemerintahan juga beroleh ‘afiah dan penuh kedaulatan,” katanya.

Bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi itu, seramai 839 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2023. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan