LAWAS, 27 Mei: Mayat seorang lelaki yang dipercayai dibaham buaya ditemui dalam keadaan sempurna pagi tadi selepas 17 jam insiden itu berlaku di sini.
Mangsa, Yambuna Yading, 51, dijumpai di sungai berhampiran sungai Kampung Patarikan Merapok, Lawas oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada jarak satu kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang pada jam 5.30 petang semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Azman Ibrahim berkata mangsa dijumpai dalam keadaan terapung dengan bentuk fizikalnya masih sempurna oleh anggota bomba di tempat mangsa dibaham buaya.
“Dengan penemuan mayat mangsa, operasi SAR mencari mangsa dibaham buaya ditamatkan pada jam 10.15 pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azman berkata terdahulu mangsa dikatakan pergi memancing bersama menantu dan saudara iparnya pada jam 5.30 petang Jumaat.
Bagaimanapun mangsa disambar buaya sepuluh minit kemudian dan terus dibawa ke dalam sungai disaksikan oleh menantu dan iparnya ketika sedang memancing.
Keluarga mangsa kemudiannya terus membuat laporan polis dan operasi SAR dilakukan pada jam 7.31 malam.
Operasi SAR ditangguhkan petang semalam susulan cuaca semakin gelap dan berbahaya kepada pasukan penyelamat seterusnya disambung jam 8 pagi hari ini sebelum mayat mangsa ditemui. – TVS