KUCHING, 23 Mei: Golongan wanita digalakkan untuk menceburi diri ke dalam bidang keusahawanan dengan menjadikan kejayaan usahawan golongan hawa lain yang berjaya sebagai sumber inspirasi.
Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Kerajaan Persekutuan mahupun Kerajaan Negeri sentiasa mewujudkan pelbagai program sebagai usaha membantu para usahawan tempatan.
“Saya yakin kerajaan sekarang ini baiknya dari pihak persekutuan dan kerajaan negeri memang banyak agensi-agensi kerajaan yang membantu dalam pelbagai program untuk membantu usahawan. Baiknya Kementerian Wanita, Kementerian Keusahawanan, ada banyak.
“Malah sekarang pihak bank turut tampil memberikan pinjaman dan bantuan kewangan untuk membantu para peniaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mira Cake House Premium Outlet Metrocity, di sini pada Isnin.
Menyentuh mengenai kejayaan pemilik Mira Cake House, Datin Masnah Sahani, 64, yang berjaya membuka Premium Outletnya di sini, beliau berkata kejayaan itu dikecapi kerana penjagaan kualiti kek lapis yang rapi.
Selain itu, beliau juga yakin dengan adanya kelebihan penggunaan media sosial pada masa kini membantu Datin Masnah melariskan jualannya.
“Saya yakin ramai yang menggunakan media sosial dan kaedah digital. Kini, anda boleh memasarkan produk-produk dengan lebih berjaya contohnya melalui TikTok dan Facebook.
“Ada instagramlah, semua boleh dipakai untuk membantu kita membesarkan lagi perniagaan tapi mesti ada kapasiti untuk mengeluarkan produk-produk seperti kuih-muih yang berkualiti tinggi,” ujarnya. – TVS