Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Juara Muhammad Amirul Hamdi Jamil, 25 (kiri), naib juara, Shamsuleffandy Sulaiman, 47, (tengah) dan Mohd Nasrul Azwan, 35 (ketiga) ketika ditemui TVS pada Limbang Firefighters Run 2023 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang hari ini.. Foto: TVS

Pelari Brunei takluki podium Limbang Firefighters Run 2023

LIMBANG, 7 Mei: Pelari-pelari dari negara jiran Brunei Darussalam  mencipta kejutan apabila menakluki podium kejuaraan selepas membolot kedudukan juara, naib juara dan ketiga pada Limbang Firefighters Run 2023 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang hari ini.

Juara Muhammad Amirul Hamdi Jamil, 25, dari Kampung Bukit Panggal Tutong, Brunei Darussalam, menyifatkan kemenangan itu hadiah terbaik sebelum beraksi pada kejuaraan Kuching Marathon yang akan diadakan kelak.

Beliau yang tidak menjangka kemenangan itu, menjadikan larian Limbang Firefighters Run 2023 sebagai aksi pemanas badan sebelum berentap pada Kuching Marathon nanti.

“Alhamdulillah pada pagi ini saya memenangi larian bomba ini sebagai persiapan saya untuk Kuching Marathon, ini latihan dan aksi pemanas badan,” katanya ketika ditemui media pada Limbang Firefighters Run 2023 hari ini.

Selain Limbang Firefighters Run 2023, beliau pernah menduduki tempat ke-10 teratas pada kejohanan Miri Marathon yang disertai Mac tahun ini.

Beliau juga menyifatkan Limbang Firefighters Run 2023 satu lagi acara yang mampu menjadi daya tarikan kepada peserta luar untuk menyertai program berkenaan khususnya pelari-pelari dari negara jiran Brunei Darussalam.

Bagi pelari yang membolot naib juara, Shamsuleffandy Sulaiman, 47 tahun, yang berasal dari Kampung Kilanas Brunei Darussalam,  tidak menjadikan usia sebagai penghalang untuk meraih kejayaan.

Katanya, meskipun dikategorikan sebagai pelari veteran, beliau tetap mempamerkan aksi terbaik sebaris dengan pelari-pelari muda pada larian berkenaan.

“Kemenangan ini tidak  diduga memandangkan usia saya kategori veteran sudah 47 tahun,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

Kata Shamsuleffandy lagi, ia merupakan penyertaan sulung beliau di Limbang, namun kerap kali menyertai pertandingan larian di negeri jiran Sabah, selain di negaranya sendiri.

Beliau turut terharu dan tidak menduga akan menduduki kedudukan naib juara selepas menyaksikan pesaing-pesaing yang hebat dan berpengalaman.

Bagi pemenang tempat ketiga Mohd Nasrul Azwan, 35 tahun, berasal dari Kampung Lugu, Brunei Darussalam, menyifatkan penyertaan sulungnya di luar memberi tuah apabila menduduki tempat ketiga.

Beliau turut aktif melakukan latihan intensif untuk meningkatkan stamina di negaranya sebelum menyertai larian tersebut.

Malah katanya, sasaran untuk menduduki kedudukan tiga teratas pada larian itu menjadi nyata sekali gus berjaya membawa pulang mahkota kejuaraan sebagai kenangan manis untuk pelari sepertinya.

Limbang Firefighter Run 2023 julung kali diadakan sempena sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia dengan kerjasama Pasukan Ayam Kampung Belusir.

Acara larian tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu tiga kilometer (km) untuk berkeluarga dan  tujuh km bagi lelaki dan perempuan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan