Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pasukan junior negara akan bertemu Thailand B-22 untuk aksi kedua Kumpulan B Sukan SEA 2023 pada Hari Perlawanan 3, Sabtu ini di Stadium Prince, pukul 4 petang (5 petang waktu Malaysia). Foto: Facebook FAM

Peringatan buat skuad Harimau Muda di Kemboja

ByBernama

PHNOM PENH, 5 Mei: Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan buruk, skuad Bawah 22 Tahun (B-22) kebangsaan diingatkan supaya tidak menunggu sehingga saat akhir untuk mengesahkan tempat ke pusingan separuh akhir saingan bola sepak lelaki Sukan SEA 2023, di sini.

Peringatan itu dibuat Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahukan skuad Harimau Muda berjuang bermati-matian memburu keputusan positif ketika turun menentang dua pasukan pilihan iaitu Thailand dan Vietnam pada aksi getir saingan Kumpulan B.

Hamidin berkata anak buah E. Elavarasan yang mempunyai sasaran ke final perlu menganggap pertembungan dengan kedua-dua pasukan itu sebagai perlawanan ‘hidup atau mati’ dalam usaha mencerahkan peluang mara ke pusingan seterusnya.

Katanya para pemain juga memahami bahawa mereka tidak mempunyai pilihan lain selain perlu mencuri tiga mata dalam kedua-dua perlawanan tersebut.

“Kita lawan Thailand dan Vietnam adalah ibarat perlawanan final. Maknanya kalau boleh kalahkan Thailand ataupun Vietnam, mereka (pemain) sudah boleh merasakan mungkin bakal menjadi juara,” katanya dalam satu pertemuan bersama media tempatan di sini, malam tadi.

Skuad kendalian Elavarasan yang membenam Laos 5-1 pada aksi sulung kumpulan di Stadium Prince di sini, Rabu lepas akan berdepan Thailand dan Vietnam masing-masing esok dan Isnin depan di venue sama sementara kedua-dua pasukan lawan itu akan bertemu sesama sendiri pada aksi terakhir 11 Mei ini.

Dalam pada itu, Hamidin berkata skuad yang dibentuk kali ini mempunyai kelebihan apabila pemain yang dimasukkan sebagai pemain gantian dilihat mempunyai keupayaan setara dengan kesebelasan utama.

Beliau berkata perkara itu akan dapat membantu pasukan mengekalkan momentum sekiranya terdapat mana-mana pemain yang mengalami kecederaan ataupun berdepan penggantungan perlawanan.

“Tetapi dalam perlawanan berpasukan komitmen dalam dan luar padang penting, saya maklumkan kepada jurulatih dan pemain bonding dalam dan luar padang mustahak. Jadi saya harap lepas kemenangan dengan Laos mereka kuat dan bersedia bertemu Thailand dan Vietnam,” katanya.

Beliau yakin pasukan muda negara mampu mengalahkan Thailand dan Vietnam dengan syarat para pemain bebas daripada sebarang masalah dan hanya menumpukan kepada perlawanan.

Malaysia dan Thailand yang baru bermain satu perlawanan, masing-masing meraih tiga mata di tempat kedua dan ketiga dalam saingan kumpulan, sementara Singapura dan Laos di kedudukan tercorot selepas gagal mengutip mata dalam dua perlawanan pertama.

Vietnam selaku juara bertahan pula menerajui saingan dengan enam mata selepas mencatat dua kemenangan berturut-turut. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan