Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Love scam
Seorang wanita 52 tahun menanggung kerugian lebih RM120,000 ditipu teman mayanya. Gambar hiasan: Envato

Wanita dilamun cinta ditipu lebih RM120,000

MIRI,1 Mei: Seorang kakitangan wanita sebuah sekolah kerajaan di sini, bukan sahaja kecewa akibat putus cinta, malah terpaksa menanggung kerugian lebih RM120,000 selepas ditipu teman mayanya.

Wanita berusia 52 tahun terbabit mula mengenali suspek selepas menerima satu mesej untuk berkenalan di laman Instagram pada pertengahan bulan Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Miri Asisten Komisioner (ACP) Alexson Naga Chabu berkata, mangsa telah memberi nombor telefon kepada suspek dan sejak itu mereka saling berhubung.

“Pada 29 April lalu, satu kes penipuan ‘love scam’ telah dilaporkan oleh seorang wanita berusia 52 tahun yang merupakan kakitangan sebuah sekolah kerajaan di daerah miri.

“Mangsa mengenali suspek melalui laman Instagram pada pertengahan Ogos tahun lepas. Perhubungan mereka semakin intim selepas itu dan beberapa bulan kemudian suspek telah menyatakan bahawa dia mencintai mangsa dan berhasrat untuk datang ke Malaysia,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Katanya, mangsa yang percaya dengan kata-kata manis suspek juga memberi wang kepada suspek sejak Disember tahun lalu.

“Atas dasar sayang, mangsa telah memasukkan wang ke dalam akaun pihak ketiga menerusi 30 transaksi pemindahan wang secara atas talian berjumlah RM120,900 sejak 13 Disember 2022 sehingga 28 Februari tahun ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, mangsa hanya menyedari dirinya telah diperdaya apabila gagal menghubungi suspek selepas melakukan semua pemindahan wang.

Alexson mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan sebarang pujian atau pujuk rayu rakan media sosial yang baru dikenali.

Katanya, gambar cantik atau tampan yang digunakan di media sosial hanya bertujuan untuk memikatkan mangsa.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan nombor telefon dan akaun bank melalui check scammers CCID atau melalui laman sesawang https://semakmule.rmp.gov.my/ sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 kanun keseksaan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan