KUCHING, 1 Mei: Sambutan Pesta Kaamatan di Sarawak buat julung kali pada tahun ini berupaya mengeratkan silaturahim dalam kalangan penduduk berbilang kaum.
Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan berkata inisiatif Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) Sarawak dalam menganjurkannya wajar dihargai.
“Perayaan ini menunjukkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di Sabah dan Sarawak kerana budaya dan seninya adalah unik dan tinggi nilai estetikanya.
“Seperti yang kita ketahui Sabah dan Sarawak terdiri daripada pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya tetapi tetap hidup dengan harmoni. Ia harus dimartabatkan dan dijaga supaya seni budaya ini tidak hilang ditelan zaman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Pesta Kaamatan 2023 peringkat KDCA Sarawak di sini semalam.
Snowdan berkata lagi, perayaan seumpamanya merupakan antara faktor tarikan pelancong untuk berkunjung ke Sarawak dan Sabah.
Sementara itu Pengerusi KDCA Sarawak, Gundohing James Samid berkata persatuan berkenaan kini bergerak lebih aktif dengan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk para ahli.
“Kami telah merancang Pesta Kaamatan pada tahun ini dapat dianjurkan dalam kapasiti yang lebih besar untuk menghimpunkan lebih ramai warga KDCA di Sarawak,” katanya.
KDCA Sarawak mempunyai ahli berketurunan Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus yang menetap, bekerja dan belajar di Sarawak.
Tema Pesta Kaamatan pada tahun ini ialah ‘Kaamatan Membudayakan Perpaduan’. – TVS