KUCHING, 9 April: Peninju negara, Daeloniel Mcdelon Bong fokus mencari rentak dan strategi terbaik dalam persiapan menjelang kejohanan Sukan Sea ke-32 di Phnom Penh, Kemboja, Mei depan.
Menerima jolokan Kilat Boy, atlet kelahiran Sri Aman, Sarawak itu akan mewakili Malaysia dalam kategori 54 kilogram (kg) pada temasya sukan Asia itu nanti.
Menurut atlet berusia 23 tahun itu, beliau kini berada di Thailand bagi menjalani sesi latihan selama enam minggu.
“Untuk persediaan, sekarang saya berlatih di Thailand untuk jangka masa enam minggu. Setakat ini persediaan saya adalah dalam 70 hingga 80 peratus. Saya tengah cuba mencari rentak yang terbaik untuk penampilan saya di temasya nanti.
Fokus utama dalam latihan kali ini, selain cuba untuk mencari rentak, saya juga mahu meningkatkan lagi tahap kecergasan dan juga mencuba teknik-teknik baharu yang ada di luar negara.
Saya mempersiapkan diri dari segi taktik, strategi, perancangan dan juga ketepatan tumbukan dalam latihan di sini,” katanya ketika dihubungi TVS.
Tambah Kilat Boy, beliau akui latihan yang dilakukannya kini agak mencabar lebih-lebih lagi perlu berlatih ketika berpuasa.
Namun katanya, itu bukan alasan dan beliau berazam untuk meningkatkan lagi latihan selepas sambutan Aidilfitri nanti.
Pada temasya sukan berprestij Asia itu Malaysia bakal menghantar 677 atlet yang mana 403 daripadanya adalah lelaki dan 274 wanita.
Sukan Sea ke-32 di Phnom Penh, Kemboja dijadual berlangsung bermula 5 hingga 17 Mei depan. – TVS