KOTA KINABALU, 9 April: Kerajaan Perpaduan yang wujud di peringkat Kerajaan Negeri Sabah melalui dukungan erat antara parti politik perlu terus dipertahan dan dikekalkan sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Menurutnya, perkara itu penting dalam usaha mengekalkan hubungan erat dengan kerajaan peringkat pusat yang sentiasa menterjemah Kerajaan Perpaduan dengan Sabah melalui peruntukan yang telah diumum oleh Perdana Menteri untuk negeri itu.
“Kita berada di dalam fasa tenang atau di dalam tahap ketenangan dan kita terus berhasrat untuk mewujudkan situasi yang tenang itu antara pelbagai parti di negeri Sabah,” katanya ketika sidang media pada Majlis Santunan Kasih Ramadan KKDW di Masjid Kampung Benoni Papar di sini, semalam.
Beliau yang juga Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, di peringkat pimpinan Umno dan BN Sabah telah diberitahu agar tidak melakukan sesuatu yang boleh menggugat perasaan atau mengguris hati mana-mana pihak.
“Terdapat beberapa langkah penyelesaian yang sedang dilakukan dan kita mencari kaedah-kaedah terbaik supaya kerajaan yang ada Kerajaan Perpaduan di Sabah ini dikekalkan sehingga PRN akan datang,” katanya lagi.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata, keserasian perlu diwujudkan antara pemimpin BN peringkat negeri Sabah untuk mengimbangi sekali gus memajukan Sabah dan mewujudkan situasi yang stabil.
Mengulas lanjut beliau berkata, Sekretariat Kerajaan Perpaduan di peringkat Umno pusat diketuai Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan di peringkat Sabah diketuai Datuk Yakub Khan yang diwujudkan juga akan memainkan peranan ke arah merealisasikan hasrat itu.
“Kita (Sekretariat Kerajaan Perpaduan) akan melakukan beberapa koordinasi daripada segi untuk menstabilkan kerajaan dan juga untuk mempertahankan kedudukan yang ada di Kerajaan Negeri Sabah ini,” katanya.
Ditanya tentang kerjasama dengan parti yang bakal dibentuk untuk menghadapi PRN Sabah akan datang, Ahmad Zahid berkata, pihaknya berhasrat untuk berkerjasama dengan parti yang mesra Umno dan BN terutama parti dalam Kerajaan Perpaduan.-TVS