Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Peniaga daging, Morni Jawi memotong bekalan daging di Pasar Basah Kubah Ria. Foto TVS.

Bekalan mentah di Pasar Kubah Ria Satok mencukupi

KUCHING, 7 April: Bahang Aidilfitri semakin terasa menyaksikan bahan mentah seperti ayam, daging, dan santan segar kini menjadi tumpuan orang ramai.

Tinjauan TVS di Pasar Kubah Ria Satok mendapati bekalan bahan-bahan mentah berkenaan masih lagi mencukupi dengan harga jualan yang standard.

Rata-rata para peniaga meyakini bekalan bahan mentah mampu menampung permintaan para pelanggan dalam tempoh dua minggu menjelang lebaran kali ini.

Menurut peniaga santan segar, Mohamad Syukeri Affandi, selain memastikan bekalan mencukupi pihaknya turut menyediakan perkhidtmatan penghantaran terus ke pintu rumah pelanggan.

Peniaga santan segar, Mohamad Syukeri Affandi sedang menyediakan stok santan segar sebagai persiapan permintaan pelanggan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri. Foto TVS.

“Setakat ini, Alhamdulillah permintaan daripada pelanggan memang ada. Persiapan saya adalah menyediakan stok bagi permintaan pelanggan yang semakin banyak terutamanya menjelang sambutan Hari Raya kerana semua orang pastinya hendak memasak rendang dan sebagainya.

Setakat ini, sudah ada yang menempah santan daripada kami. Jadi, saya akan sentiasa bersiap sedia apa yang patut bagi menghadapi tempahan mendadak daripada pelanggan.

Saya juga menyediakan penghantaran santan segar terus ke rumah menggunakan aplikasi Grabmart, Maxim dan Foodpanda. Harga santan segar semakin naik 20 peratus hingga 30 peratus berbanding harga dua tahun lepas. Bagi saya tiada kekangan untuk mendapatkan stok kerana stok sentiasa ada tidak pernah putus,” katanya ketika ditemui TVS pada Jumaat.

Bagi Morni Jawi, peniaga daging yang sudah lama menapak di pasar tersebut mendedahkan bekalan daging tidak mempunyai masalah malahan sentiasa mencukupi.

“Bekalan daging memang mencukupi dari dulu sehingga sekarang. Saya menjual ayam dan daging beku. Sesiapa yang hendak membeli, boleh datang terus ke tempat saya berniaga ini. Harga ayam dan daging beku adalah harga standard bergantung dengan mutunya,” katanya.

Walaubagaimanapun bagi Zulkiffle Taha, peniaga bekalan ayam memberitahu beliau menyarankan orang ramai untuk membeli bekalan ayam seawal mungkin bagi mengelakkan ketidakcukupan bekalan ayam di saat akhir nanti.

“Bekalan ayam mungkin tidak mencukupi, jadisaya nasihatkan para pembeli agar membeli lebih awal dan bekukan di rumah kerana takut tiba-tiba bekalan ayam tidak mencukupi pada saat akhir.”

“Bekalan daging mencukupi tetapi bekalan ayam dikhuatiri tidak mencukupi. Setakat ini, harga ayam masih berpatutan dan terkawal seperti biasa,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan