KUCHING, 4 April: Menjelang Syawal, Bazar Aidilfitri Satok yang menawarkan pelbagai barangan keperluan bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri sudah pasti menjadi tumpuan warga bandar raya ini.
Pelbagai kelengkapan raya dijual termasuk songkok, baju melayu dan baju kurung dijual di bazar yang terletak strategik di tengah bandar raya Kuching itu yang akan beroperasi mulai Rabu (5 April).
Ia beroperasi pada 10 pagi hingga 12 malam. Lebih 60 gerai jualan dibuka di Bazar Aidilfitri Satok dan ia dibahagikan kepada Zon A, Zon B dan Zon C.
Tinjauan wartawan TVS hari ini mendapati para peniaga sibuk melakukan persiapan terakhir sebelum beroperasi.
Menurut seorang peniaga Hasiman Morni, seperti tahun-tahun sebelumnya antara persiapan yang dilakukan ialah memasang lampu, menyusun barangan jualan dan menyediakan meja.
“Di sini terdapat pelbagai barangan raya dijual. Sesiapa yang tidak sempat untuk membeli barang, mereka boleh datang ke sini kerana kami akan beroperasi sehingga lewat malam. Malah kami juga akan beroperasi sehingga malam raya,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang peniaga kasut Mohammad Nazri Aboi turut membuat persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan cuaca buruk.
Pengalaman berhadapan dengan situasi itu beberapa kali membuatkannya sentiasa berwaspada dan bersedia.
Berkongsi cerita, beliau berkata kanopi di gerai jualannya di bazar Ramadan baru-baru ini diterbangkan angin kuat sehingga menyebabkan semua barangan jualannya basah.
“Bagi penjaja jalanan, kami sudah bersedia untuk menghadapi situasi ini. Kami akan menyediakan kanvas untuk melindungi jualan kami agar tidak terkena hujan,” ujarnya.
Manakala bagi seorang peniaga pakaian yang hanya mahu dikenali sebagai Nor, kali ini perasaannya bercampur-baur kerana bimbang sambutan orang ramai.
Reda dengan sebarang kemungkinan, Nor tetap meneruskan berniaga kerana ia merupakan punca rezekinya.
“Tapi dah kerja kita berjual, redah sahajalah. Kalau sudah rezeki kita, insya-Allah ada. Ini sudah menjadi minat kita untuk berdagang, jadi jangan takut,” ujarnya.
Walaupun demikian, tahun ini Nor menyediakan stok barangan jualan lebih banyak sebagai persediaan jika mendapat sambutan menggalakkan setelah COVID-19 kian reda. – TVS



