KUCHING, 2 April: Pahit, pekat serta bewarna kehitaman gambaran deskripsi minuman kopi yang menjadi pilihan ramai, tanpa mengira usia dan jantina.
Malah, kopi mempunyai variasinya tersendiri yang mana antara yang popular adalah Arabica, Robusta, Excelsa serta Liberica.
Namun siapa sangka di utara Sarawak, variasi minuman kopi yang lebih dikenali sebagai kopi beras ini mempunyai keunikannya yang tersendiri.
Baca artikel berkaitan >>>>> Kopi beras berpotensi dipasarkan meluas sebagai produk Sarawak – Abdul Karim
Sakai Dawat merupakan pemilik salah sebuah Inap Desa di Ba’kelalan berkata, minuman kopi beras adalah salah satu minuman yang dinikmati sejak zaman nenek moyangnya yang dianggap sebagai gantian kepada kopi sebenar.
Ini kerana menurut beliau, pada zaman dahulu, kopi sangat sukar diperoleh untuk dijadikan minuman.
“Asal usul kopi beras ini sejak nenek moyang kami dahulu. Waktu itu tidak ada kopi yang lain, mereka hanya bergantung kepada beras mereka untuk dijadikan kopi. Dari situlah terhasilnya kopi beras ini dan kita kekalkannya sampai kita sekarang,” kata Sakai kepada TVS ketika ditemui di kediamanya di Ba’Kelalan, Sarawak.
Bercerita lanjut, beliau yang mengusahakan Inap Desa sejak tahun 2020 menghidangkan minuman kopi beras kepada pengunjungnya hanya untuk minum petang semata-mata.
Namun selepas mendapat sambutan dari pelanggannya, sakai mengambil keputusan untuk memproses sendiri produk kopi beras sebagai salah satu produk asli dari Ba’kekalan.
Uniknya pembuatan kopi beras ini, hanya dua bahan yang diperlukan iaitu beras serta satu sudu gula kasar.
“Cara kita memproseskan kopi beras adalah kita guna periuk yang tebal. Periuk tersebut dipanaskan dahulu sebelum kita masukkan beras. Mengikut berapa banyak kita ingin buat, ia boleh mengambil masa sehingga satu jam,” jelasnya.
Bagaimanapun, tambah beliau, keenakan kopi beras hanya akan terhasil dengan menggunakan beras tertentu dan ini adalah bagi mengekalkan rasa asli dan aroma semula jadi kopi beras yang telah diproses.
“Kopi beras ini kita guna beras wangi. Kita Lun Bawang sebut dia beras ‘nanung’. Kalau dalam Bahasa Malaysia, kita sebut dia beras wangi. Beras itu sesuai untuk kita buat untuk kopi. Selama ini saya cuba beras yang lain, hasilnya tidak seperti beras wangi ini,” Sakai menambah.
Lebih menarik, beras tersebut merupakan hasil tanaman beliau sendiri, iaitu beras asli dari Ba’kelalan. – TVS