SIBU, 19 Mac: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu akan menawarkan diskaun saman 60 peratus kepada orang ramai sempena Peringatan Hari Polis Ke-216 mulai esok hingga 31 Mac ini.
Diskaun saman tersebut merupakan tawaran daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak dan pembayaran boleh dibuat di semua kaunter trafik daerah dalam kontinjen Sarawak pada waktu hari bekerja sahaja.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, warga Sibu boleh menyelesaikan pembayaran saman di kaunter Balai Polis Trafik Sungai Merah di Jalan Wawasan dekat sini.
“Pembayaran saman boleh dibuat pada waktu bekerja mula jam 8 pagi hingga 3 petang pada ketetapan tarikh dan masa tersebut.
“Selain itu, pembayaran saman juga boleh dibuat melalui aplikasi ‘MyBayar Saman PDRM’ yang boleh dimuatnaik di playstore,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, selain memperingati Hari Polis Ke-216, tujuan tawaran diskaun saman tersebut adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai khususnya masyarakat Sibu untuk menyemak dan menyelesaikan saman-saman tertunggak mereka dengan pengurangan sebanyak 60 peratus.
Menurutnya, semua jenis saman layak mendapat diskaun 60 peratus kecuali saman kemalangan, saman Bicara Mahkamah, Saman Kategori Tidak Boleh Kompaun (Non-Compoundable), Saman Kesalahan Memotong Lorong Kecemasan, Saman Kesalahan Tidak Patuh Isyarat Lampu Merah, Saman Berkaitan Kenderaan Berat Motolori, Saman Kesalahan Memotong di Garisan Berkembar, Saman Kesalahan Pengubahsuaian Ekzos Kenderaan dan Saman Berstatus Op Selamat. – TVS