MIRI, 18 Mac: Sarawak mendahului negeri-negeri lain di Malaysia dalam menjalankan Penilaian Kesan Sosial (PKS) dan Penilaian Kesan Alam Sekitar (PKAS) sebelum sebarang projek pembangunan dilaksanakan.
Menurut Senator Junior Chamber International (JCI), Dato Sri Lee Kim Shin, langkah itu menjadikan Sarawak menjalankan penilaian kesan sosial dan alam sekitar sebelum melaksanakan sebarang projek pembangunan.
“Kerajaan Sarawak menggalakkan pembangunan mampan untuk memastikan alam sekitar dan sumber asli negeri tidak terjejas selaras dengan SDG yang digariskan PBB.”
“Malah sejak 2008, Kerajaan Sarawak telah memulakan inisiatif Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) untuk membangunkan industri merentasi lima kawasan utama iaitu Tanjong Manis, Samalaju, Mukah, Baram dan Tunoh serta dua empangan kuasa hidro di Bakun dan Murum,” katanya.
Menteri Pengangkutan Sarawak itu berkata demikian Beliau pada Majlis Perasmian Pembukaan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Lestari Borneo (BSDG) di Coco Cabana, Miri di sini, hari ini.
Justeru itu, Kim Shin akui Sarawak kini komited dalam mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang telah digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi memastikan alam sekitar dan sumber asli negeri tidak terjejas.
Selain itu, tambah beliau Kerajaan Sarawak juga memandang serius bagi menangani isu perubahan iklim dan telah menubuhkan Pusat Perubahan Iklim Sarawak (SCCC) bagi menguruskan segala perkara berkaitan perubahan iklim dan perdagangan karbon.
Baca berita berkaitan >>>>> Sarawak bakal tubuh Pusat Perubahan Iklim
“Baru-baru ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengumumkan penubuhan SCCC dua hari lalu. Kita mengadakan Persidangan Karbon Asia yang pertama di Kuching. Ini menunjukkan betapa seriusnya Kerajaan Sarawak terhadap perubahan iklim.”
“Di pusat ini, kita akan berkhidmat untuk menyelaras, mengurus, menyokong dan membimbing semua perkara berkaitan perubahan iklim dan inisiatif perdagangan karbon di negeri ini,” ujarnya.
Beliau optimis penubuhan pusat tersebut juga akan meletakkan Sarawak sebagai peneraju dalam perubahan iklim dan inisiatif perdagangan karbon di rantau ini bagi menarik pelaburan dan bakat untuk memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan. – TVS