KUCHING, 18 Mac: Polis berjaya menahan seorang suspek kes samun bersenjata berkumpulan di Jalan Baka/Luak Bay,selepas berlaku aksi kejar-mengejar dengan suspek, pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bintulu, Superitendan Batholomew Umpit berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan selepas berlaku aksi kejar-mengejar antara pihak polis dan suspek yang enggan memberi kerjasama.
“Semasa di Jalan Bakam/Luak Bay, Miri berlaku aksi kejar-mengejar, ketika pihak polis hendak menahan dan memeriksa Proton Saga merah tersebut, kenderaan itu tiba-tiba dipandu secara agresif, mengundur dan berbahaya sehingga menyebabkan kerosakan kepada sebuah kenderaan awam.
“Pemandu kenderaan Proton Saga warna merah berjaya ditahan untuk membantu siasatan bersangkut dua kes samun bersenjata dan berkawan yang dilaporkan pada 16 Mac lalu di daerah Bintulu bersabit laporan polis Tg Kidurong / RPT / 611 / 2023 dan Bintulu / RPT / 2876 / 2023, Seksyen 395/397 kanun keseksaan, “ katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, satu video berdurasi 2 minit 19 saat tular di media sosial yang menunjukkan tangkapan kes samun bersenjata dan berkawan oleh PDRM Bintulu bersama dengan PDRM Miri di Jalan Bakam/Luak Bay, Miri.
Sehubungan itu, Batholomew menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita yang tidak benar kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Mengulas lanjut, Batholomew memberitahu, pihaknya sedang giat mengesan dua lagi warga tempatan untuk membantu siasatan.
Pada masa sama, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut boleh tampil ke hadapan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Christina Edris di talian 014-3574148 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bintulu di talian 086-318304. -TVS