Petros dalam satu kenyataan hari ini berkata, lesen yang dikeluarkan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak pada Persidangan Karbon Asia 2023 di sini hari ini, meliputi kawasan yang terletak di wilayah Luconia Utara, luar pesisir Bintulu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petros Janin Girie berkata dengan potensi simpanan yang banyak di kawasan luar pesisir, Sarawak diimpahi dengan potensi kapasiti penyimpanan karbon terbesar di Malaysia.
“Kami mengalu-alukan organisasi yang komited untuk mencapai sasaran penyahkarbonan mereka untuk menerokai potensi CCUS di Sarawak bersama Petros,” katanya.
Janin berkata pembangunan infrastruktur CCUS akan membuka kunci dan mengkomersialkan pembangunan rizab gas masam terkandas di luar pesisir Sarawak.
Beliau berkata gas tambahan yang diteroka oleh CCUS boleh memastikan keselamatan bekalan tenaga dan gas jangka panjang untuk Sarawak – melengkapkan peralihan tenaga Sarawak dan Malaysia.
“Pada akhirnya, infrastruktur CCUS asas yang ditubuhkan bagi membolehkan pembangunan medan gas masam boleh diperluaskan lagi untuk membolehkan pemancaran karbon dioksida (CO2) lain, tempatan dan asing, menangkap dan menyimpan CO2, untuk mengurangkan kesan pemanasan rumah hijau dan untuk membolehkan merealisasikan ekonomi karbon sifar bersih.
Beliau berkata pengembangan infrastruktur itu, akan mewujudkan peluang perniagaan untuk mengendalikan infrastruktur CCUS, menjana pendapatan ekonomi negeri, di samping membangunkan lagi keupayaan tempatan.