KUALA LUMPUR, 9 Mac: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) belum mempunyai perancangan untuk mewujudkan skim pencen warga emas yang tidak menerima pencen kerajaan atau pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ini kerana kementeriannya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menawarkan perkhidmatan sosial berbentuk bantuan kebajikan dan kewangan seperti Bantuan Warga Emas (BWE) yang berjumlah RM500 sebulan.
“Selain itu, penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), perkhidmatan penjagaan warga emas di institusi seperti Rumah Seri Kenangan dan Rumah Ehsan serta program-program yang menggalakkan penuaan produktif turut diwujudkan.
“Melalui inisiatif tersebut, ia dapat menyediakan ruang dan peluang kepada warga emas untuk melibatkan diri dalam sektor ekonomi, walaupun dalam skala kecil-kecilan,” katanya.
Beliau berkata demikian kektika menjawab soalan William Leong Jee Keen (Pakatan Harapan – Selayang) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang melaksanakan skim pencen warga emas untuk rakyat berumur 65 tahun ke atas yang tidak menerima pencen kerajaan atau pencen PERKESO.
Kata Nancy lagi, dasar warga emas negara yang dibangunkan oleh KPWKM sejak 2011 telah menggariskan enam strategi utama.
“Salah satu strategi tersebut adalah keselamatan dan perlindungan yang memberi fokus kepada keterjaminan hak dan akses warga emas kepada keperluan asas, keselamatan sosial.
“Antara lain, perlindungan daripada pengabaian, penganiayaan dan penderaan di bawah peruntukan undang-undang,” katanya.-TVS