Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menyaksi pemeteraian perjanjian penjualan gas asli antara SEC dengan beberapa pelabur utama. Foto: Chief Minister Office

Usaha Kerajaan Sabah jadi pembekal industri gas direalisasikan

KOTA KINABALU, 6 Mac: Usaha Kerajaan Sabah menjadi pembekal industri gas dapat direalisasikan dengan termeterainya beberapa perjanjian Jualan Gas Asli (GSA) melalui Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) hari ini.

SEC yang juga syarikat milik penuh kerajaan negeri merupakan pembekal dan pengangkut gas asli domestik terbesar Sabah.

Dalam majlis yang sama, SEC turut menandatangani Perjanjian Induk (HoA) dengan pelabur utama di negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, dengan pemeteraian itu SEC kini memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan industri dan pembangunan ekonomi di Sabah, malah usaha untuk memainkan peranan utama dalam industri gas melalui SEC kini membuahkan hasil berikutan pemeteraian perjanjian dengan Petronas pada Oktober tahun lepas, memberikan SEC aset saluran paip gas hiliran terpilih dan pembekalan kontrak gas asli.

“SEC dijangka mengambil alih saluran paip gas asli daripada Petronas mulai 1 April tahun ini. Ini adalah petanda baik untuk pertumbuhan ekonomi negeri selaras dengan aspirasi kerajaan pimpinan GRS di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani GSA dan HoA di Menara Kinabalu dekat sini hari ini.

GSA pertama ialah perjanjian jangka panjang antara SEC dengan SBH- Kibing Solar New Materials (M) Sdn. Bhd untuk pemprosesan pasir silika dan projek pembuatan panel solar mereka.

SBH Kibing melabur RM2 bilion di Sabah, yang dijangka membawa manfaat besar kepada negeri dari segi peningkatan pelaburan langsung asing, kira-kira 1,800 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah, dan ‘spin-off’ ekonomi ketara yang lain.

SEC juga menandatangani GSA dengan SK Nexilis Malaysia Sdn. Bhd, pengeluar utama kerajang kuprum untuk bateri dan Laminat Tembaga fleksibel untuk industri bahagian paparan.

Pelaburan syarikat sebanyak RM4.2 bilion dalam membina kemudahan pembuatan kerajang tembaga luar negara pertamanya di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) adalah sebahagian daripada usaha Sabah untuk mempromosikan industri sektor bukan tenaga di negeri ini dan meletakkan negeri ini sebagai hab bagi komponen kenderaan elektrik (EV).

Kemudahan pembuatan di KKIP ini dijangka mewujudkan kira-kira 500 peluang pekerjaan. SEC juga telah menandatangani Perjanjian Induk Jualan Gas dengan anak syarikat Petronas Gas Berhad, RGTLD, untuk pembekalan gas asli.

Melalui perjanjian pembekalan gas jangka panjang ini, SEC akan menjalankan peranan sebagai pembekal gas kepada projek loji bernilai RM230 juta yang diumumkan baru-baru ini di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) di Sipitang.

Loji itu, yang disasarkan siap pada suku pertama 2026, akan memainkan peranan penting sebagai pembekal tenaga tunggal kepada kemudahan gas asli cecair terapung berhampiran pantai 2.0 juta tan setahun (MTPA) pertama di negeri ini.

Loji ini juga berfungsi sebagai sumber haba yang berpotensi untuk pengguna masa depan di SOGIP.

Pada 17 Jan 2023, SEC juga memeterai Perjanjian Novasi Jualan Gas Asli dengan Petronas, Petronas Carigali Sdn Bhd, dan Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) sedia ada dengan jumlah kapasiti 880 MW.

Perjanjian novasi menandakan kepentingan syarikat milik Negara sebagai pembekal gas asli utama untuk sektor tenaga.

Wakil daripada IPP iaitu Kimanis Power Plant Sdn. Bhd, SPR Energy (M) Sdn. Bhd, Ranhill Powertron Sdn. Bhd, Ranhill Powertron II Sdn. Bhd, dan Sepangar Bay Power Corporation Sdn. Bhd. hadir untuk menerima dokumen yang ditandatangani daripada SEC.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong, Peguam Negara, Datuk Nor Asiah Mohd Yusof, Pengerusi SEC Datuk Anwar Ayub dan Ketua Pegawai Eksekutif SEC, Adzmir Abdul Rahman. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan